PERATURAN-PERATURAN MAKANAN 1985

Kenapa MRL Perlu Diwujudkan?

  1. Memastikan RMP digunakan adalah secara berhemah berdasarkan APB.
  2. Melindungi kesihatan pengguna.
  3. Membantu penguatkuasaan undang-undang berkaitan keselamatan makanan.
  4. Memudahkan proses perdagangan domestik dan antarabangsa

Bagaimana MRL Diwujudkan?

  1. Berdasarkan kajian residu RMP pada tanaman yang mengambil kira kadar bancuhan, kekerapan dan teknik semburan serta sistem penanaman seperti tanaman terbuka, fertigasi, kalis hujan dan lain-lain.
  2. Ditetapkan pada tempoh dilarang mengutip hasil / pre harverst interval (PHI) yang bersesuaian.
  3. Memenuhi penilaian risiko keselamatan makanan terhadap pemakanan manusia.

Bagaimana MRL Dipantau?

Berdasarkan analisis residu RMP ke atas hasil pertanian yang dijalankan di makmal. Sampel hasil pertanian yang dihantar ke makmal adalah yang telah sedia untuk dipasarkan.

Bagi Program Pemantauan Residu RMP Dalam Hasil Pertanian Jabatan Pertanian, program persijilan myGAP dan program persijilan myOrganik sektor tanaman, pengambilan sampel di ladang adalah secara rawak dan mengikut amalan aktiviti pasca tuai seperti basuh, rendam, waxing dan lain-lain di ladang tersebut. Pelaksanaan program ini adalah berdasarkan Buku Panduan Pelaksanaan Program Pemantauan Residu RMP Dalam Hasil Pertanian.

Apakah Perundangan Berkaitan MRL?

  1. Penguatkuasaan MRL RMP dalam hasil pertanian dikawal di bawah Akta Makanan 1983 yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Secara khususnya, nilai MRL RMP yang dibenarkan bagi setiap tanaman tersenarai di bawah Jadual 16, Peraturan 41, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.
  2. Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983
    Peraturan 41. Residu racun perosak
    Subperaturan (2) “Tiada seorang pun boleh mendedahkan, menyebabkan atau membenarkan supaya didedahkan, apa-apa makanan, tidak termasuk air semasa menyedia, menstor, membungkus, menyerahhantar, mengimport atau mendedahkan untuk jualan kepada apa-apa racun perosak jika pendedahan itu akan mengakibatkan residu pada atau dalam makanan itu dalam amaun yang lebih tinggi daripada amaun yang dinyatakan dalam Jadual Ke Enambelas.”
  3. Pematuhan MRL
    • Jabatan Pertanian berperanan memberi khidmat pengembangan RMP kepada petani secara berterusan.
    • Penguatkuasaan oleh KKM bagi hasil pertanian di pasaran tempatan dan kawalan import dilaksanakan berdasarkan Akta Makanan 1983 dengan mengambil sampel pertanian di ladang, tempat jualan dan pintu utama negara. Sekiranya residu RMP melebihi paras yang ditetapkan, komoditi-komoditi terlibat akan dimusnahkan dan pemilik boleh didakwa serta dikenakan penalti di bawah Akta Makanan 1983.
  4. Penalti

Peraturan 397 Subperaturan (2) “Mana-mana orang yang melakukan suatu kesalahan terhadap Peraturan-Peraturan ini yang mana tiada apa-apa penalti diperuntukkan oleh Akta apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit (RM5,000) ATAU penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.”

Bagaimana Menangani Masalah Residu Melebihi Paras MRL

RMP perlu digunakan secara berhemah. Lakukan semburan hanya apabila serangan perosak melebihi Tahap Ambang Tindakan (ATL).

Perkara-perkara asas perlu diambil kira :

  1. Racun perosak berkualiti dan berdaftar dengan LRMP
  2. Kenalpasti sasaran (perosak atau penyakit)
  3. Racun perosak yang betul
    • Pilih racun yang bersifat selektif terhadap spesis yang hendak dikawal
    • Pilih formulasi RMP dengan alat penyembur bersesuaian
    • Pilih RMP yang tidak memudaratkan organisma bukan sasar/berfaedah dan musuh semulajadi (MSJ)
    • Pilih RMP yang paling selamat kepada manusia dan binatang ternakan
    • Jika semburan perlu dibuat berulang kali, selang seli dengan racun perosak yang mempunyai cara tindakan yang berbeza bagi mengurangkan kesan kerintangan.
  4. Kadar/ dos yang betul
  5. Patuhi PHI untuk mengurangkan kesan residu
  6. Alat penyembur yang betul (jenis alat penyembur dan nozel)
  7. Masa penggunaan / semburan yang betul
    • Peringkat kitaran hidup perosak
    • Peringkat tumbesaran tanaman
    • Peringkat tumbesaran musuh semulajadi
    • Tahap kerosakan atau serangan (ATL)
    • Keadaan cuaca
  8. Liputan semburan yang maksimum